Tuesday, 28 June 2016

Anak-Anak Syurga..

Bismillahi rahmani rahim..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Harap semua dalam keadaan sihat walafiat. Masih berpuasa? Alhamdulillah. Sudah masuk 23 Ramadhan, 10 hari terakhir Ramadhan, fasa 'itqun minan nar' iaitu pembebasan dari api neraka (maaf dan sila tegur kalau silap). Iaitu masa kita berlumba untuk memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah, menghayati 10 terakhir Ramadhan dengan zikir dan tasbih serta sibukkan diri dengan membaca Al-Quran serta memahaminya.

Sedikit sebanyak peluang ini aku ambil. Tahun ini agak rajin sedikit. Berbanding tahun lepas yang sememangnya penuh dengan depression. Menjadi pembakar semangat diri bila aku ingat balik memori tahun lepas. Betapa lemah dan daifnya kita manusia tatkala diuji dengan dugaan. Runtun hati sedih dan merasakan diri ini lemah apabila ditimpa musibah yang Allah janjikan hanya sementara. Untuk kita tadabur diri kembali kepadaNya.

Walhal mereka diluar sana ada yang menghadapi kematian setiap hari di medan perang. Kebuluran dan kehilangan harta benda dek tentera zalim yang saban hari membunuh mereka yang tidak bersalah serta memusnahkan tempat tinggal mereka. Dalam doaku sebak tiap kali qunut nazilah aku baca, membayangkan keperitan saudara Islam. Moga Ramadhan ini penuh barakah dengan bantuan dan kasih sayang sesama saudara dalam memperkuatkan iman kepada Allah.

Aku tersentuh dengan satu artikel yang tentang misi kemanusiaan di Palestin di mana mereka kembali dari 'Misi Berani Mati' untuk menghulurkan bantuan ke kawasan Gaza. Panjang artikelnya namun worth of reading. Tentang adab dan kelakuan mereka kanak-kanak Palestin tatkala diberi bantuan. Penuh dengan hilai tawa dan senyuman. Saling membantu dan membahagikan bantuan.

Seperti tiada berlakunya peperangan. Tiada seperti digambarkan di dalam media di mana mereka berasak dan bertolak-tolak, trauma dan sentiasa kemurungan. Jauh berbeza tanggapan itu bila mana mereka sampai di kawasan bantuan. Para-para hafiz di pusat tahfiz sana semuanya beribadah dan membahagikan makanan sesama sendiri. Mendahulukan yang kecil dan mengutamakan yang lemah.

Para pemberi bantuan merasa bagaikan mereka berada di planet lain. Kegembiraan dan penuh kecintaan mereka kepada Allah. Penuh ketenangan dan senyuman serta salam. Apabila ditanya mereka, mahukah mereka mengikut rombongan bantuan pulang ke Malaysia dan belajar di sana, mereka menjawab ' terima kasih tapi Syurga menanti kami '
Aku sebak membaca.

Artikel tersebut aku kepilkan di sini untuk menjadi motivasi kepada yang lain agar kekalkan momentum ibadah dan amalan pada bulan Ramadhan ini. Ikhlas dan terus istiqamah dalam mencari Lailatul Qadr dan sentiasa positif dalam meneruskan kehidupan. Cukup sudah nukilan aku hari ini. Kekal positif dengan hidup dan sentiasa rendahkan diri kepadaNya. Beramal dan beribadah seolah-olah kita mati esok.

Kita hanya manusia. CiptaanNya yang sentiasa berdosa. Hina kita disisiNya.
Moga Allah menerima taubat kita hambaNya.

Amin.

Anak-Anak Syurga : Aqsa Sharif

No comments:

Post a Comment