Sunday, 8 May 2016

Hijrah Positif


Bismillahi rahmani rahim..

Selamat malam semua. Or to me who type this. Sudah hampir tengah malam dan mata masih belum rabak. Menguap sudah semestinya tapi keinginan untuk menaip mengagahkan diri, lebih hebat dari keazaman untuk mengemas rumah. Selalunya bertangguh hingga tidak ketahui bila perlaksanaannya. Hanya bila mana mata mula rasa tak selesa, melihat rumah tunggang langgang baru dikemasnya. Tipikal aku. Heh.

Sambil mendengar lagu di pada telefon pintar, aku menaip menceritakan betapa teruknya aku belanja pada hari ini. Atas alasan untuk 'reward' diri, walaupun sebenarnya tiada apa yang perlu diberi ganjaran dengan kemalasan melampau, serta stress yang agak luar biasa dua-tiga hari ini. Minggu ini kurang bahgia. Allah duga macam-macam walaupun pada dasar pemikirannya, boleh diatasi jika tidak ambil cakna atas punca stress tersebut. Again, manusia adalah selemah lemah makhluk. Begitu jua aku.

Pesakit kebelakangan ini ramai. Sehingga sampai satu ketika aku terfikir, adakah mereka datang ini benar-benar sakit atau pura-pura? Sekali lagi, lihat betapa negatifnya pemikiran apabila stress. Sememangnya kurang kesabaran dan hilang fokus kerja. Entah la, mungkin aku tak pandai menguruskan kerja dan masa. Mengimbangi kedua-duanya dengan elok, penuh hikmah dan teratur. Mujur tiada jeritan atau pekikan. InsyaAllah. Doa-doakan agar hati sentiasa lentur dalam mendengar setiap rintihan pesakit.

Hari ini adik aku cadangkan satu drama Jepun yang baru. Memandangkan aku adalah peminat drama Jepang, maka beliau memberi tajuk cerita kepada aku. 'Fragile'. Rapuh dalam Bahasa Malaysia. Tentang bagaimana doktor yang hebat dalam mendiagnosa penyakit pesakit dengan kajian dan ujian.

Drama ini fokus kepada bahagian patologi pesakit, iaitu mencari punca dan sebab penyakit. Mereka dari jabatan patologi akan mengkaji dan menyiasat punca pesakit melalui sampel darah dan sel yang telah diberi oleh pesakit dari wad. Dari episod satu aku tonton walau separuh, jabatan ini sememangnya tiada sebarang perhubungan dengan pesakit. Mereka hanya akan mengkaji sampel dan akan memberikan keputusan, selanjutkan akan didiagnosa oleh doktor.

Sememangnya menarik. Oleh sebab siri ini masih baru, maka aku mula keluar dari rumah untuk cadangnya ke mana-mana kawasan yang mempunyai wi-fi laju. Perangcangannya adalah supaya aku dapat download video dari internet. Ia memerlukan kelajuan internet yang agak pantas.

Sayang sekali di sini wi-fi hanya untuk kegunaan browsing dan bukannya muat turun. Speed download pun lambat. Haish. Aku tamatkan misi pencarian wi-fi aku dan sms kawan sematrik untuk jumpa. Mungkin luang masa dengan dia kat sini, memandangkan rumah dia pun dekat dengan tempat aku lepak.

Jujur aku cakap, kerja seorang Houseman (HO) sememangnya sibuk. Dari awal pagi sehingga petang. Jadual yang padat serta kekangan rehat boleh buat mereka stress. Kesian aku tengok kawan aku yang lepak sekali. Tak berhenti telefon dia berdering, panggilan dan Medical Officer (MO) bertugas untuk tanya pasal pesakit dan rawatan yang telah dia beri pada shift dia. Aku doakan dia akan terus sabar dan bertahan sehingga ke titis peluh terakhir dia dalam bekerja. InsyaAllah, jadi doktor yang terbaik wahai Akram Hj Ramli.

Balik sahaja dari Amanjaya, aku gerak ke klinik sekejap. Dan kemudiannya balik rumah. That's how i spend my holiday. Bosan? Sememangnya. Kalau aku tinggal di rumah pun sama sahaja. Bezanya aku jimat dalam perbelanjaan. Tapi cuti juga kena produktif. Walau hakikatnya seperti mana perenggan awal-awal, kerja bertangguh aku pun belum selesai. Kan? Seperti satu tembok besar yang harus dipanjat.

Berceloteh panjang lebar. Hahaha..

There are lots of things that I need to change. Kalau tak boleh buat segera, buat secara perlahan-lahan, sebagai mana aku taip dengan tekun menyusun ayat. Antaranya :

1. Malas. Harus/Wajib rajin tiap masa. Kena buat sesuatu. Tak boleh statik diam. Aku sentiasa bertangguh dalam buat kerja. Maka ini harus ditukar. Ke arah menjadi khalifah yang lebih produktif. Aku mohon ya Allah.

2. Amal ibadah dan dosa. Elakkan munkar dan dekati makruf. Kena kerap hadir majlis, rapat dengan ahli masjid dan kariah. Berzikir dan bertasbih kepada Allah. Kerap baca Al-Quran, walau sehelai. Doa sentiasa dalam hati agar diri berubah. Pohon keampunan pada Allah agar diampunkan dosa, lampau dan kini.

3. Pembahagian masa. Harus lebih efisyen dalam penggunaan masa terluang dengan amal dan perancangan rapi mengenai kerja-kerja yang dilakukan. Tidak bertangguh dalam pekerjaan.

4. Positif dan sabar. Ujian Allah pada hambaNya adalah apabila datang perkara yang tidak diingini, tidak disangka dan musibah. Berdoa pada hati agar sabar. Tidak amarah dan kekal dalam iman. Sentiasa husnuzon pada sesuatu dan tidak su'zon, tidak mengadu domba dan gelak.

5. Hindari riak, ta'jub dan takabur. Syaitan paling suka apabila manusia apabila berbuat kebaikkan, mereka berlagak. Menghakimi orang dan menuduh tanpa usul periksa. Amal yang dibuat hanya akan sia-sia. Moga Allah tidak lekakan kita dengan perasaan ini.

6. Kurang makan dan tidur. Itu adalah punca kepada kemalasan.


*7. Amarah. Sesungguhnya sifat amarah dan stress itu adalah dari syaitan. Maka padamlah ia dengan zikrullah. Tenangkan jiwa dan tidak menunjukkan tanda bahawa kita marah ataupun tertekan. Lemparkan senyuman dan berbicara seikhlas mungkin. Doa dan pohon agar Allah kurniakan kekuatan untuk berubah. Secara istiqamah. 
Berbicara biarlah berfikir dahulu. Diam adalah lebih baik dari berkata-kata yang sia-sia. InsyaAllah. Aku bermohon kepadaMu ya Allah agar dikurniakan kematangan dalam bicara, perbuatan dan berubah ke arah lebih baik. Amin.

Rasanya setakat ini yang aku tulis. Kalau ada penambahan, aku akan cuba baca kembali dalam blog ini. Apa-apa pun aku mahukan perubahan dalam diri. Persediaan mencari redha Allah. Pahala aku terlalu sedikit nak dibandingkan dengan dosa aku yang meninggi, banyak tak terkira. Andai Allah pertunjuk pada aku, aku akan resah gelisah.

Aku tak layak ke syurgaMu, dan aku juga tak sanggup ke nerakaMu ya Allah..
Moga diteruskan peringatan ini, dari hari ke hari. Istiqamah aku dalam amal ya Allah. Amin.

No comments:

Post a Comment