Monday, 21 March 2016

Mulut, Akal dan Hati

Ubat marah bagi aku ialah makanan. Walaupun sedikit, bila dirasa, ianya begitu nikmat sehingga hilang semua kehangatan di hati. Hanya perut yang mengucapkan terima kasih atas makanan yang telah dimamah turun melalui esofagus sang teruna. Hilang habis rasa fed-up hari ini. Tapi jari masih menaip dengan harapan agar hari ini aku lebih faham dan cuba untuk memperbaiki lagi.

Khilaf, adalah perkara yang sentiasa berlaku dalam kalangan manusia. Khilaf diri dengan manusia, dengan perkara, dengan masyarakat. Kekurangan diri, kelemahan dan kedaifan diri dalam menangani pelbagai perkara, tekanan dan stress. Ada yang mengambil keputusan berdiam diri. Ada yang pantang dicabar dan ditinggikan suara, ia tidak menyerah. Kemudian adanya aku, yang diam bukan kerana tidak mahu reaksi, tetapi sibuk diri tanpa henti dengan kerja yang perlu diselesaikan.

Kesian aku lihat sahabat aku. Hari ini dia diam seribu bahasa, suaranya belum pulih sepenuhnya. Tidak berbicara, hanya mengungkapkan kata-kata apabila perlu sahaja. Kalau tidak mungkin kering dan sakit kotak suaranya. Begitu senyap dan diam sehingga terkadang aku fikir mungkin dia marah? Ada perkara yang aku salah? Apa yang telah aku lakukan? Lihat bagaimana permainan syaitan yang sentiasa mengundah gulanakan hati hamba Allah. Aku tegur dan jenaka, akhirnya senyum. Alhamdulillah. Normal rupanya. =)
Juga disalah tafsirkan. Akhirnya dipersalahkan kerana hari ini luar dari norma. Senyap hari pula dikatakan mengundang pelbagai masalah. Pelik bukan?

Biarkan mereka bercakap. Kerana hati mereka yang mahu, bukan akal yang mendahulu.

Aku akui aku kerap bercakap, suka berbual dan petah berbicara. Mulutku kalau dibandingkan dengan machine gun, mungkin habis peluru senjata tersebut tidak terlawan patah kataku. Namun bila aku kerja, sememangnya aku fokus. Diam buat aku lebih tekun menyelesaikan kerja yang bertimbun tanpa ada penamatnya. Selagi tidak selesai, selagi itu aku akan terus diam dan hanya gelak ketawa apabila berbicara dengan pesakit.

Khilaf aku kerana diam. Diam aku mereka yang membara. Marah dan amarah tanpa henti. Aku hanya mampu sabar dan diam. Kerna kerjaku sendiri banyak sehingga tidak aku berhenti seketika, bertanyakan apa konflik diluar sana. Berselisihan berlaku. Sehingga selesai semuanya aku gagahkan diri ambil tahu. Tapi apa respon yang diberi benar-benar buat aku kecil hati. Menyalahkan aku tidak membela mereka ketika berselisih, menjadikan aku kambing hitam dalam perbalahan.

Entah.. Mungkin silap aku. Tidak kehadapan bersama menyelesaikan masalah. Ternyata pilihan aku untuk terus bekerja tak mempedulikan menjerut diriku. Yup, aku lagi dipersalahkan. Terima kasih.

Benar orang kata, mulut itu benar benar tajam. Tajamnya setajam mata pedang, tusuknya bukan di badan, tapi terus ke hati. Apa yang mungkin aku lakukan dahulu, terlepas kata akhirnya terkena pada diri. Berkali-kali.

Alhamdulillah sahaja. Aku bukan sempurna. Terima kasih kerana menilai kekuranganku sebagai satu aset jenaka dan pelepas amarah. Jika ia buatnya tenang, aku gembira. Cukup. Mungkin ini satu balasan atas segala kesalahan yang telah aku lakukan pada yang lainnya. Berbicara tanpa menggunakan akal dan hanya mengikut kehendak hati. Yang akhirnya, kau dan aku masing masing mendiamkan diri. Aku diam kerana takut dosa.

Mungkin berkekalan diam sehingga selesa akannya.. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment